Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas keizinan dan limpah inayah-Nya  laman Portal Rasmi Kolej Komuniti Gopeng telah berjaya dibangunkan. Selamat datang diucapkan kepada pengunjung Laman Portal Rasmi Kolej Komuniti Gopeng, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti , Kementerian PendidikanTinggi.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu kepada Kolej Komuniti Gopeng sejak penubuhannya. Kolej Komuniti Gopeng berpegang teguh kepada visi dan misi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai platform utama pembangunan modal insan negara.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang komited, kami di Kolej Komuniti Gopeng sentiasa berusaha untuk menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti, fleksibel dan berdaya saing, bukan sahaja kepada para pelajar muda tetapi juga kepada masyarakat setempat melalui program pembelajaran sepanjang hayat (Lifelong Learning). Usaha ini adalah sebahagian daripada peranan kami dalam memperkukuh kemahiran dan pengetahuan komuniti setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri dan negara.

Di Kolej Komuniti Gopeng, kami menawarkan program Sijil Teknologi Maklumat yang menjurus khusus untuk memenuhi keperluan industri semasa. Selain program akademik, kami turut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berdaya saing, berinovasi dan berakhlak mulia.

Saya juga ingin menekankan pentingnya kolaborasi strategik antara Kolej Komuniti Gopeng dengan pihak industri, komuniti, serta agensi-agensi kerajaan dan swasta. Kerjasama ini membolehkan kami memastikan bahawa program-program yang ditawarkan adalah relevan dan sejajar dengan keperluan pasaran kerja.

Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyokong usaha kami di Kolej Komuniti Gopeng. Saya berharap agar kita semua terus bekerjasama dalam mencapai aspirasi yang telah digariskan demi kecemerlangan pendidikan TVET dan kesejahteraan masyarakat.

“Graduan kualiti amanah kami, pensyarah kompeten ‘izzah kami, POLYCC wadah kami, memacu destinasi Malaysia MADANI”

Sekian, terima kasih.

Norjunainah Binti JuriPengarah